
Majlis Media berkata tindakan sedemikian meletakkan pengamal media dalam keadaan berisiko, melanggar hak privasi, keselamatan serta hak asasi manusia, selain melemahkan peranan asas kewartawanan dalam sebuah masyarakat demokratik.
Menurutnya, tiada wartawan seharusnya menjadi sasaran ancaman atau gangguan peribadi, walaupun ada ketidaksetujuan terhadap hasil kerja mereka.
“Kami juga menggesa semua pihak bertenang,” katanya.
Majlis itu turut menyambut baik langkah diambil FMT dalam menangani isu berkenaan serta keterbukaan portal itu menjelaskan pengendalian kes itu, selaras dengan prinsip ketelusan dan tanggungjawab editorial.
“Pada masa sama, majlis menegaskan kepentingan wartawan mengamalkan pemikiran kritis dalam pelaporan mereka, termasuk dalam pembentukan soalan dan naratif,” katanya.
Sementara itu, CIJ menyuarakan kebimbangan susulan tindakan pengguna media sosial bertindak mendedahkan maklumat peribadi wartawan berkenaan, selain menggunakan bahasa bersifat menghasut, perkauman dan tidak berperikemanusiaan.
Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G Naidu berkata, tindakan itu disifatkan ancaman sebenar terhadap keselamatan wartawan terbabit.
Beliau berkata perbuatan menghasut keganasan, mengganggu dan melakukan doxing disifatkan pencabulan langsung terhadap hak asasi manusia, serta menjejaskan keselamatan individu dan pekerja media di Malaysia.
“Sebarang rasa tidak puas hati atau kritikan terhadap cara wartawan menjalankan tugas tidak pernah menghalalkan serangan terhadap keselamatan dan privasi mereka.
“Kita mesti mengecam sekeras-kerasnya semua bentuk doxing, gangguan dan ugutan terhadap wartawan,” katanya.
Naidu turut menegaskan isu akauntabiliti perlu ditangani melalui saluran sah dan wajar seperti Majlis Media Malaysia, bukannya melalui serangan beramai-ramai di media sosial atau penyalahgunaan data peribadi.
FMT semalam memohon maaf atas kesan akibat insiden itu dan menjelaskan akan mengambil tindakan tatatertib susulan kontroversi berkenaan.
FMT juga menjelaskan wartawan yang menghadiri syarahan awam melibatkan ahli politik UK, George Galloway, tidak menggunakan perkataan ‘aparteid’ semasa forum berkenaan, bertentangan dengan dakwaan tular di media sosial.