
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata perkara itu berdasarkan hasil siasatan awal pihaknya.
“Motif serangan terlihat seperti ada gangguan terhadap isterinya (suspek). Isu ini kelihatan lebih kepada peribadi nampak macam (suspek) salah sasaran pun ada.
“Dia (suspek) nak pukul orang yang kacau bini dia tapi salah orang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Kesejahteraan Komuniti ‘Disiplin Terjaga, Generasi Terbina’ di Pusat Konvensyen HGH, Sentul.
Fadil bagaimanapun menegaskan, siasatan kes itu masih berjalan dan polis akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara supaya suspek didakwa.
Mengulas penafian Haresh serangan terhadapnya bermotifkan ‘isu peribadi’, Fadil berkata pihaknya akan menjalankan siasatan secara komprehensif termasuk membandingkan semua keterangan daripada suspek dan mangsa.
“Semua isu ini kita bandingkan dengan semua keterangan, itu proses siasatan. Kita akan buat siasatan secara komprehensif,” katanya.
Haresh, yang juga wartawan senior dan pengasas TwentyTwo13, diserang dua individu ketika ingin masuk ke dalam keretanya di Bangsar, Selasa lalu.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga tempatan direman bermula Rabu hingga esok bagi membantu siasatan.
Semalam, Haresh menolak dakwaan polis serangan terhadapnya bermotifkan ‘isu peribadi’.