
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Krishnan, 37, yang mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah pada 28 Nov lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Krishnan bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Haresh Deol di hadapan bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, kira-kira 3.32 petang, 5 Nov 2025.
Bapa lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, manakala Mohamad Salihen Mastor mewakili tertuduh.
Mengikut fakta kes, Haresh yang bertugas sebagai editor di syarikat Twentytwo13 diserang ketika berjalan pulang dari sebuah restoran di Bangsar.
Siasatan mendapati tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas menaiki sebuah motosikal dan berpura-pura berbual telefon sebelum menghampiri pengadu, yang kemudian cuba melarikan diri kerana berasa tidak selamat.
Bagaimanapun, pengadu terjatuh selepas terlanggar seorang pejalan kaki sebelum dipukul di bahagian muka dan badan, dengan salah seorang suspek didakwa memberitahu supaya tidak mengganggu isterinya.
Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan disaksikan orang awam. Pengadu kemudian mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan doktor mengesahkan kecederaan tisu lembut dan lebam di beberapa bahagian badan.
Siasatan turut mengesahkan penglibatan tertuduh yang kemudian ditahan polis bersama rampasan sebuah motosikal, manakala seorang lagi suspek masih belum diberkas.
Sementara itu, Haresh berkata kes berkenaan belum berakhir memandangkan terdapat suspek masih bebas dan siasatan lanjut berjalan.
“Setakat pengetahuan saya, masih ada suspek di luar sana. Jadi, bagi saya kes ini belum selesai.
“Jika mereka (polis) memanggil saya semula selepas suspek lain ditahan, sudah tentu saya akan bekerjasama,” katanya.