3 wartawan antara 11 terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

3 wartawan antara 11 terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Pelanggaran terbaharu perjanjian gencatan senjata oleh Israel itu juga menyebabkan 11 penduduk Palestin cedera.

Gaza
Tentera Israel terus menguasai zon penampan di selatan dan timur Gaza, serta sebahagian besar utara Gaza, dengan menduduki lebih 50% wilayah berkenaan. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Sebelas rakyat Palestin, termasuk tiga wartawan, terkorban dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Rabu, dalam pelanggaran terbaharu perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.

Kenyataan kementerian itu memaklumkan enam lagi individu cedera dalam serangan yang menyasarkan pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza, namun tidak memperincikan lokasi serangan atau identiti mangsa.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh memberitahu Anadolu bahawa tiga wartawan adalah antara yang terkorban dalam serangan Israel di selatan Gaza.

Saksi sebelum ini berkata tentera Israel membedil bahagian timur Bandar Deir al-Balah, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, di tengah-tengah pelanggaran harian Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt.

Serangan udara turut menyasarkan kawasan kejiranan di timur Bandar Gaza.

Sumber perubatan pula menyatakan tiga lagi mangsa terkorban di Bandaraya Gaza dan tiga lagi di selatan Gaza.

Sumber tempatan melaporkan dua letupan kuat menggegarkan utara Gaza dan Bandar Gaza selepas tentera Israel merobohkan baki bangunan serta kemudahan di timur kawasan Sheikh Zayed di utara.

Kapal tentera laut Israel turut melepaskan tembakan mesingan ke arah pantai Bandaraya Gaza, manakala sebuah helikopter dan kenderaan tentera melepaskan tembakan di bahagian timur bandar berkenaan.

Di selatan Gaza, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah kawasan timur Khan Younis, menurut saksi.

Tentera Israel terus menguasai zon penampan di selatan dan timur Gaza, serta sebahagian besar utara Gaza, dengan menduduki lebih 50% wilayah berkenaan.

Kempen ketenteraan Israel sejak Okt 2023, yang berlarutan selama dua tahun, telah mengorbankan lebih 71,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90% infrastruktur awam di Gaza.

Sejak gencatan senjata bermula pada 10 Okt 2025, serangan Israel telah mengorbankan 483 rakyat Palestin dan mencederakan 1,287 yang lain, manakala Israel menyekat ketat kemasukan bekalan makanan, peralatan perlindungan dan bantuan perubatan ke Gaza, di mana kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin hidup dalam keadaan daif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.