Remaja lemas ketika cuba selamatkan rakan

Remaja lemas ketika cuba selamatkan rakan

Mangsa, Muhammad Haziq Danish Mohd Hafizul Khairi dikatakan bersama-sama lima rakannya ke sungai itu untuk mandi sebelum seorang rakannya hampir lemas.

lemas sungai sedim
Mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa naik ke tebing oleh orang awam. (Gambar Facebook)
KULIM:
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Sedim di Kampung Baru Jemerli, dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Kulim, Zulkifli Azizan, berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Haziq Danish Mohd Hafizul Khairi, bersama-sama lima rakannya ke sungai itu untuk mandi sebelum seorang rakannya hampir lemas.

“Polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kejadian lemas di Sungai Sedim pada 4.40 petang.

“Semasa sedang mandi, mangsa cuba menyelamatkan seorang daripada rakannya yang hampir lemas, bagaimanapun rakan mangsa dapat memegang dahan pokok berhampiran, tetapi mangsa hanyut dibawa arus,” katanya menerusi kenyataan media malam ini.

Beliau berkata rakan-rakan mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada orang kampung yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan tersangkut pada tunggul kayu pada jarak lebih kurang 50 meter dari tempat mangsa mandi. Orang kampung telah membawa naik mangsa ke tebing sungai dan menghubungi talian 999.

“Pada 5 petang, pasukan bomba dan polis tiba di lokasi dan bantuan pernafasan cuba diberikan kepada mangsa, namun tiada tindak balas,” katanya.

Zulkifli berkata mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada 5.20 petang.

“Siasatan lanjut mendapati tiada unsur mencurigakan berhubung insiden tersebut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.