
Mangsa, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, dikatakan tenggelam dan dikhuatiri lemas selepas berjaya menolak anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ke atas tebing sungai.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika dua beranak itu sedang mandi-manda bersama keluarga di sungai berkenaan, lapor Berita Harian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Nik Mohd Fakri Md Nawi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.04 petang tadi berhubung kejadian.
Katanya, lapan anggota bersama dua jentera dari BBP Gua Musang bergegas ke lokasi dan mangsa dilapor berjaya menyelamatkan anaknya yang hampir lemas.
Menurutnya, namun mangsa tenggelam dan dihanyutkan sehingga tidak dapat dikesan kerana arus deras serta air sungai dalam.
“Pasukan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan melakukan pencarian di permukaan air. Bagaimanapun setakat ini mangsa masih gagal dikesan.
“Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada 7.46 malam atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.