
SWCorp berkata notis itu dikeluarkan pada Ops Cegah susulan penguatkuasaan penuh kesalahan di bawah Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 itu dilaksanakan bermula 12.01 tengah malam tadi.
Ops itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan anggota penguat kuasa SWCorp dan kerjasama pihak berkuasa tempatan di 11 lokasi tumpuan utama di negeri yang menerima pakai akta berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 24 kes melibatkan warga Malaysia dan 18 kes warga asing, manakala dari segi golongan usia 40 kes membabit dewasa dan dua kanak-kanak.
“Pesalah akan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata SWCorp dalam kenyataan lapor Bernama.
Menurut SWCorp, kesalahan yang dikesan melibatkan perbuatan membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa seperti puntung rokok, botol air, minuman tin, plastik tisu dan pembalut makanan di tempat awam serta jalan awam.
Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang berkuatkuasa hari ini memperuntukan hukuman perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam dan denda hingga RM2,000 terhadap individu yang didapati bersalah membuang sampah di tempat awam.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata, menerusi undang-undang itu tiada pihak dikecualikan termasuk pelancong asing.
Katanya, tindakan itu bukan bersifat menghukum, sebaliknya untuk mendidik masyarakat dalam aspek pemeliharaan kebersihan dan mengubah sikap supaya tidak membuang sampah sewenang-wenang.
Beliau berkata mengutip sampah, cuci tandas serta longkang dan pesalah perlu memakai ves tertera ‘khidmat masyarakat’ antara hukumannya.