Shuib didenda RM10,000 kerana promosi vape

Shuib didenda RM10,000 kerana promosi vape

Pelakon dan pelawak itu turut diperintahkan dipenjara selama satu tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Shuib Shahmira Muhamad
Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 42, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas mengaku bersalah mempromosikan produk tembakau, dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelakon dan pelawak, Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas mengaku bersalah mempromosikan produk tembakau, dua tahun lalu.

Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 42, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah, menurut Sinar Harian.

Ezrene turut memerintahkan OKS dipenjara selama satu tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mempromosikan produk merokok yang telah melanggar Seksyen 9(1) iaitu mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Ia dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang merokok atau dipromosikan sebagai suatu produk berhenti merokok.

Kesalahan didakwa dilakukan melalui pod cast pautan YouTube pada jam 4.26 petang, 22 Oktober 2024 yang telah dibaca oleh pihak Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 9(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, boleh di hukum di bawah Seksyen 9(3)(a)(i) akta yang sama.

Jika disabitkan bagi kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Shuib diwakili peguam Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri dan Sa’eed Khaliq manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa daripada Kementerian Kesihatan (KKM) Kua Ah Kiong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.