Prinsip dan integriti mesti utama, PAS maklumkan ‘harapan’ kepada Bersatu

Prinsip dan integriti mesti utama, PAS maklumkan ‘harapan’ kepada Bersatu

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man harap Bersatu ambil tindakan tegas terhadap Adun yang tandatangan SD.

pemimpin bersatu pas
PAS berpandangan prinsip dan integriti mesti diutamakan, susulan tindakan tegas terhadap tiga Adun di Perlis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek, tegas PAS dalam kenyataan yang memuatkan harapan parti itu kepada sekutunya, Bersatu.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PAS tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah, berlatarkan kemelut yang membawa kepada peletakan jawatan pemimpin parti itu, Shukri Ramli, sebagai menteri besar.

“Saya berharap Bersatu turut mengambil tindakan tegas terhadap Adun mereka yang terlibat menandatangani akuan berkanun sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.

“Tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara,” menurut kenyataan.

Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Perkembangan itu menyusuli laporan FMT pada Isnin, apabila sumber memaklumkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.

Menurut sumber, lima daripada mereka terdiri daripada wakil rakyat Bersatu, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Bersatu mengemukakan tiga nama Adunnya sebagai calon menteri besar, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).

“Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, kami yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat,” kata Tuan Ibrahim malam tadi.

“PAS sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada Adunnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.