Tiga bekas Adun PAS saman speaker Perlis isytihar kerusi kosong

Tiga bekas Adun PAS saman speaker Perlis isytihar kerusi kosong

Mereka yang dihentikan keahlian parti berkata tindakan Speaker Rus'sele Eizan itu di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.

3 Adun Perlis tergugur jawatan
Bekas Adun Chuping, Saad Seman; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) berkata pengumuman Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan pada 25 Dis lalu itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.
PETALING JAYA:
Tiga bekas Adun PAS memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan yang mengisytiharkan kekosongan luar jangka di kerusi mereka.

Bekas Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) masing-masing memohon keputusan pengosongan kerusi DUN diwakili adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.

Mereka menegaskan pengumuman Rus’sele bertarikh 25 Dis lalu itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.

“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.

“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” kata mereka dalam kenyataan bersama lapor Berita Harian.

Mereka berkata, tindakan itu diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum PRN seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.

“Kami juga memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” kata mereka yang memfailkan saman itu melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.

Rus’sele pada 25 Dis lalu mengistiharkan berlakunya kekosongan luar jangka di tiga DUN berkenaan selepas keahlian wakil rakyat PAS itu dihentikan susulan kemelut Perikatan Nasional (PN) di Perlis.

Kemelut di Perlis tercetus selepas lapan Adun PN mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar, yang menyaksikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik menggantikannya.

Sementara itu, Rus’sele berkata, bekas Adun berkenaan berhak memfailkan saman kerana itu adalah hak mereka dan beliau hanya menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.

Katanya, buat masa ini pihaknya belum lagi menerima sebarang notis atau writ saman daripada tiga Adun berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.