Hubungan PAS-Bersatu baik, buka ruang hidupkan MN, kata Hadi

Hubungan PAS-Bersatu baik, buka ruang hidupkan MN, kata Hadi

Ia susulan cadangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya Perikatan Nasional dibubarkan dan Muafakat Nasional dihidupkan semula.

Muktamar Pas
Presiden PAS Hadi Awang berkata hubungan PAS dengan Umno juga masih baik.
PETALING JAYA:
Hubungan PAS dan Bersatu dalam keadaan baik, sekali gus membuka ruang untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) bagi menyatukan orang Melayu serta Islam, kata Presiden PAS, Hadi Awang.

“Hubungan dengan Bersatu baik, dengan Umno pun masih baik. Ya, insya Allah kita nak satukan orang Melayu, orang Islam dan nak satukan orang bukan Islam yang tak ekstrem,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang.

MN ditubuhkan pada September 2019 hasil kerjasama PAS dan Umno bagi menyatukan pengundi Melayu Islam.

Hadi mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh supaya membubarkan Perikatan Nasional (PN) dan MN dihidupkan semula selepas kemelut politik di Perlis.

Saranan itu disambut baik Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, MN boleh dilancarkan selepas Umno dan Barisan Nasional meninggalkan kerajaan perpaduan.

Tetapi, Pengerusi MN Jasin, Khairuddin Abu Hassan dilaporkan berkata, cadangan itu menimbulkan persoalan sama ada ia dibuat secara jujur demi penyatuan ummah atau sekadar memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Katanya, terlalu awal untuk meletakkan syarat seperti PN perlu dibubarkan, sebaliknya pihak terbabit perlu duduk semeja untuk mencari satu formula penyatuan yang boleh menguatkan kedudukan bangsa, negara dan agama secara berkekalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.