
Menyifatkan MN – satu pakatan pilihan raya ditubuhkan PAS dan Umno pada 2019 – sebagai tidak serius, Anwar berkata ia merupakan keputusan parti masing-masing.
“Tapi yang penting, sekarang, kerajaan perpaduan masih utuh dan semua telah berikan pendiran mereka untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga pilihan raya akan datang.
“Jadi soal orang yang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai, itu bukanlah masalah saya,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya.
Pada 28 Dis lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor meminta ahli dan penyokong Umno supaya menghidupkan semula semangat MN sebagai asas perpaduan ummah menjelang PRU16.
Sanusi berkata, kerjasama antara PAS dan Umno penting bagi menjamin kestabilan politik negara khususnya di peringkat akar umbi.
Malah katanya PAS sentiasa bersikap terbuka menerima sokongan daripada ahli Umno yang mahu bersama perjuangan parti itu walaupun mereka masih kekal berorganisasi dalam Umno.
Kenyataan Sanusi itu seiring dengan pandangan beberapa pemimpin PAS lain yang berulang kali membangkitkan idea menghidupkan semula pakatan MN.
Suruan itu bertabah kuat susulan krisis politik Perlis antara PAS dan sekutunya, Bersatu sehingga membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh pada 25 Dis turut menyeru agar MN dihidupkan semula.
Sayap Umno itu juga akan mengadakan satu konvensyen khas pada 3 Jan bagi mengumpulkan pandangan akar umbi sama ada parti itu perlu meneruskan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut Anwar berkata kerajaan juga tidak mahu mencampuri urusan pergolakan dalam pakatan pembangkang tersebut.
“Itu masalah mereka. Kita tak campur. Itu masalah PAS dan Bersatu. Cerai berai ini bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya.