
Kenyataannya menyusul kematian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin kurang seminggu selepas berjaya mempertahankan kerusi Lamag dengan majoriti tipis pada PRN 29 Nov lalu, dan peringatan oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul baru-baru ini bahawa ramai Ahli Parlimen belum melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan mereka.
Maria berkata, sesetengah negara mewajibkan calon mengisytiharkan status kesihatan mereka sebelum pencalonan, contohnya calon presiden Indonesia perlu mengemukakan sijil kesihatan daripada hospital kerajaan.
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, kelayakan sama turut dilaksanakan di Lithuania dan bebarapa negara Afrika, di mana langkah sedemikian membantu memastikan kesinambungan dalam tadbir urus.
“Setiap calon perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum hari pencalonan dan setiap tahun ketika memegang jawatan,” katanya kepada FMT sambil menambah pilihan raya dan jawatan awam menuntut ketahanan fizikal serta mental, khasnya pemegang jawatan tinggi.
“Pilihan raya penuh tekanan, khasnya bagi mereka yang memegang jawatan utama dalam Jemaah Menteri. Ia jelas membuang masa, wang dan usaha apabila wakil rakyat dipilih tidak dapat berkhidmat akibat masalah kesihatan.”
Beliau mencadangkan pemeriksaan kesihatan dilaksanakan di hospital kerajaan, dengan sijil kesihatan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tetapi, beliau mengakui SPR kini tiada bidang kuasa melaksanakan syarat sedemikian.
“Ketika ini, SPR hanya boleh mengemukakan syor. Undang-undang kita perlu dipinda untuk menjadikan sijil kesihatan asas wajib dikemukakan kepada SPR,” katanya sambil menambah pendedahan perlu dihadkan dan hanya didedahkan kepada umum atas persetujuan calon.
Thomas Fann, pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya Engage, berkata walaupun cadangan itu munasabah, tetapi ia memerlukan pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kriteria kelayakan calon pilihan raya.
“Di bawah kerangka Perlembagaan sedia ada, syarat sedemikian tidak dibenarkan,” katanya sambil menambah Parlimen perlu memasukkan dengan jelas sijil kesihatan sebagai syarat untuk pencalonan.
Beliau berkata, beberapa PRK yang diadakan sebelum ini susulan kekosongan akibat masalah kesihatan mengukuhkan keperluan untuk reformasi, tetapi beliau memberi amaran potensi penyalahgunaan politik.
Katanya, perlu ada peruntukan untuk rayuan terhadap pembatalan kelayakan dan peluang mendapatkan pendapat perubatan kedua bagi mengelakkan kerajaan sedia ada mengeksploitasi kelompongan undang-undang.
“Kita tidak mahu situasi di mana kerajaan menggunakan pengaruhnya ke atas hospital untuk membatalkan kelayakan calon pembangkang utama daripada bertanding dalam pilihan raya.”
Menurutnya, saringan kesihatan perlu dihadkan kepada penyakit mengancam nyawa seperti penyakit jantung atau kanser dan tidak patut merangkumi keadaan berkaitan gaya hidup seperti diabetes, kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi.
Penganalisis politik, Azmi Hassan, berpendapat pendedahan mandatori boleh menimbulkan kebimbangan privasi dan mencadangkan deklarasi kesihatan secara sukarela sebagai pendekatan lebih praktikal.
“Jika calon mendedahkan maklumat ini secara sukarela, mereka mungkin dapat meraih keyakinan pengundi melalui ketelusan,” katanya sambil menambah ia boleh menjadi nilai tambah untuk calon menunjukkan mereka benar-benar layak dan sihat menjalankan tugas.