
Presidennya, Zahid Hamidi, berkata setakat ini, belum ada penilaian empirikal dilakukan terhadap impak kemasukan semula pemimpin berkenaan menerusi Gagasan Rumah Bangsa.
“Jadi, kita harus berlaku adil kepada mereka untuk memperlihatkan komitmen mereka bagi memberikan sumbangan terus kepada Umno,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun Umno ke-80 baru-baru ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, peluang bertanding dalam PRU16 amat bergantung kepada keupayaan calon untuk menang di sesebuah kawasan, sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.
Pada 18 April lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, bekas naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas menteri luar Syed Hamid Albar antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli dari seluruh negara yang diterima kembali ke Umno menerusi inisiatif Gagasan Rumah Bangsa.
Gagasan Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula Umno yang diperkenalkan Zahid untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahlinya.
Diperkenalkan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, inisiatif itu berfungsi sebagai platform terbuka bagi memudahkan pendaftaran keahlian, termasuk melalui permohonan dalam talian tanpa proses rumit.
Ditanya jika inisiatif itu menggambarkan Umno semakin sukar menjadi wadah penyatuan, Zahid yang juga timbalan perdana menteri menegaskan asas perjuangan parti itu kekal utuh sebagai teras dalam landskap politik Melayu-Islam negara.
“Ia tidak bermaksud begitu kerana DNA mana-mana kepimpinan parti Melayu-Islam yang ada datang daripada Umno. Kita lihat parti-parti yang wujud sekarang ini serpihan Umno.
“…dan tidak perlu kita berbeza pendapat untuk siapa yang lebih Melayu, siapa yang lebih Islam…yang penting ialah rakyat harus disantuni dan dibantu.”
Jelasnya, pendekatan semasa juga menuntut semua pihak melihat agenda nasional dengan lebih luas, termasuk dalam aspek pendidikan dan ekonomi tanpa terlalu terikat kepada kepentingan parti semata-mata.
“Ini harus dilihat dengan rasional, bukan hanya pandangan sempit daripada pemimpin tertentu yang masih berfikiran terlalu sempit.”
Berhubung status hubungan MIC dalam BN, Zahid sekali lagi menegaskan kedudukan parti itu kekal bersama gabungan berkenaan dengan isu berkaitan perkara terbabit telah diselesaikan.