Pendakwaan gagal bukti RM2.8 juta diterima Zizie bayaran rasuah, kata peguam

Pendakwaan gagal bukti RM2.8 juta diterima Zizie bayaran rasuah, kata peguam

Mahkamah Sesyen tetap 20 Julai keputusan balu Bung Moktar Radin bebas atau sabit dengan kesalahan.

Zizie Izette Abdul Samad didakwa bersubahat dengan Bung Moktar Radin menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melaburkan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pendakwaan tidak dapat buktikan melampaui keraguan munasabah bahawa balu bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra Bhd, Bung Moktar Radin menerima RM2.8 juta sebagai bayaran rasuah, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.

Peguam K Kumaraendran, yang mewakili Zizie Izette Abdul Samad, berhujah bahawa keterangan saksi pendakwaan – ejen unit amanah Public Mutual, Norhaili Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid – menyokong pembelaan anak guamnya.

“Keterangan Norhaili dan Madhi menyokong pendirian Zizie bahawa wang itu adalah yuran perkenalan,” katanya dalam hujahan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Kumaraendran turut berkata pendakwaan tidak mencabar keterangan Norhaili dan Madhi walaupun mereka dianggap saksi belot.

“Pendakwaan tidak memulakan prosiding mencabar kredibiliti mereka,” katanya.

Bung, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan dan ketua Umno Sabah, didakwa pada 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan bagi Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra Bhd itu dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie, di cawangan Public Bank Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015.

Beliau juga didakwa memperoleh wang tunai RM337,500 secara rasuah daripada seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama Zizie, untuk tujuan yang sama.

Pada September tahun lepas, Bung tampil memberi keterangan membela diri.

Bagaimanapun, pada Januari, pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadap Bung berikutan kematiannya sebulan sebelum itu.

Zizie dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 kerana bersubahat dengan Bung berhubung kesalahan yang didakwa tersebut.

Menurutnya, dia memperkenalkan Norhaili dan Madhi kepada Bung antara lewat 2013 dan awal 2014 di sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana, sebagai ahli politik, suaminya seseorang yang sering ingin ditemui ramai orang.

Zizie didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana bersubahat dengan Bung berhubung kesalahan yang didakwa itu.

Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan.

Peguam M Athimulan, yang sebelum ini mewakili Bung dan kini mewakili Zizie, berhujah bahawa beliau sepatutnya dilepas dan dibebaskan kerana tertuduh utama telah dibebaskan.

“Berdasarkan kes undang-undang India, Zizie sepatutnya secara automatik dilepas dan dibebaskan kerana mahkamah telah melepas dan membebaskan Bung,” katanya.

Peguam Ridah Abdah Subri pula berkata Zizie tidak perlu membuktikan dirinya tidak bersalah atau menjelaskan setiap keadaan yang berlaku secara sempurna.

“Undang-undang hanya memerlukan pihak pembelaan menimbulkan keraguan munasabah, dan kami telah berbuat demikian,” katanya.

Ridah berkata pendakwaan gagal mengemukakan bukti bahawa Zizie meminta atau menuntut wang itu bagi pihak Bung.

“Tiada juga konspirasi atau subahat seperti didakwa pendakwaan,” katanya sambil menambah bahawa Zizie tidak bersalah kerana tidak mempunyai pengetahuan atau niat melakukan jenayah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah bahawa RM2.8 juta itu bukan yuran perkenalan, sebaliknya wang rasuah seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009.

“Kami berjaya buktikan persubahatan wujud kerana ada konspirasi antara Zizie dan Bung,” katanya sambil menambah Bung menghubungi Norhaili untuk membuat pembentangan kepada lembaga Felcra.

Beliau berkata walaupun lembaga hanya meluluskan pelaburan RM50 juta, Bung menghantar tiga surat melalui pegawainya kepada bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah untuk mendapatkan kelulusan RM150 juta.

Law berkata pembelaan Zizie, yang mengutip wang itu bagi pihak Bung, tidak boleh dipercayai kerana beliau tidak pernah memaklumkan kepada Bung bahawa Public Mutual akan membayarnya RM2.2 juta secara tunai, manakala baki RM600,000 dilaburkan dalam produk unit amanah Public Mutual.

“Beliau memberi keterangan bahawa wang itu adalah urusan peribadi,” katanya sambil menambah dalam masa sama, beliau turut menyatakan tidak akan melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan kerjaya politik Bung.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Fadhly Zamry berkata Rosli tidak boleh menilai semula kes pendakwaan seperti dihujahkan pihak pembelaan.

“Semua elemen kesalahan telah dibuktikan apabila Bung dan Zizie dipanggil membela diri,” katanya.

Fadhly berkata Rosli perlu menilai kes pendakwaan dan pembelaan Zizie sebelum memutuskan sama ada beliau harus dilepas dan dibebaskan atau disabitkan kesalahan.

Rosli akan menyampaikan keputusan pada 20 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.