
PETALING JAYA: Seorang pekerja wanita cedera selepas kakinya digigit seekor ular sawa sepanjang dua meter ketika menggunakan tandas di sebuah farmasi tempat dia bekerja di Shah Alam petang tadi.
Jabatan Bomba Selangor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Bukit Jelutong dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Anggota bertugas berjaya melepaskan mangsa berusia 23 tahun dari gigitan ular dari kawasan yang digigit dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan selanjutnya.
“Ular sawa sepanjang dua meter itu dilepaskan di tempat yang selamat,” kata kenyataan itu.