
Beliau berkata apa yang penting adalah keupayaan syarikat tersebut untuk memberi sumbangan dalam meningkatkan kemudahan parkir yang lebih baik.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat (dalam membuat saringan pemilihan syarikat) sebab telah serahkan kepada Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).
“MBI melakukan proses saringan dan proses saringan itu tidaklah menyemak sampai siapa ‘the real owner’ dan sebagainya.
“Kalau syarikat terbabit mempunyai keupayaan itu, saya rasa tidak menjadi kesalahan pula untuk institusi raja terlibat mungkin sebagai penaung pihak yang terbabit,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Selangor 2025.
Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan seorang kerabat diraja Selangor dikaitkan dengan sebuah syarikat yang dianugerahkan tiga konsesi setakat ini di bawah inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk menswastakan tempat letak kereta.
Laporan itu mendedahkan pegangan 16.5% Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam Selmax Sdn Bhd, yang setakat ini telah menerima tiga konsesi menerusi Skim Parkir Pintar Selangor (SIP).
Projek itu mendapat perhatian selepas laporan bahawa satu konsesi tambahan, Selmax Sdn Bhd, telah dibawa masuk tidak lama selepas Rantaian Mesra Sdn Bhd diumumkan sebagai operator asal pada 9 Julai.
Pemakluman Bursa Malaysia pada 15 Julai menunjukkan bahawa Selmax telah memperoleh konsesi jangka panjang daripada beberapa pihak berkuasa tempatan, menimbulkan persoalan mengenai potensi konflik kepentingan dan ketelusan.