
Dalam keputusannya, Hakim Roz Mawar Rozain berkata, imbangan kemudahan tidak memihak kepada pemberian injunksi yang dimohon oleh plaintif, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd.
Plaintif menyaman LSH Service Master, LSH Best Builders Sdn Bhd, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan kementeriannya, serta kerajaan Malaysia berhubung pemberian konsesi baharu itu.
Roz Mawar berkata, konsesi MKLSB sepatutnya tamat pada akhir bulan lepas.
Katanya, keterangan di mahkamah tidak memihak kepada pemberian injunksi sementara yang dimohon. Secara khususnya, beliau menyatakan bahawa kerajaan telah mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pengambilalihan konsesi pada Mac tahun lepas.
“Hujah bahawa (LSH Capital dan anak-anak syarikatnya) tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan atau mengurus Menara KL bukanlah asas untuk mahkamah ini memberikan injunksi ad interim,” kata hakim itu, lapor The Edge.
Hakim berkata, beliau akan mendengar permohonan injunksi interim pada 9 Jun.
Hydroshoppe dan MKLSB diwakili oleh Rosli Dahlan selaku peguam, manakala Arthur Wang mewakili LSH Capital dan LSH Service Master. Peguam persekutuan M Bharath tampil mewakili kerajaan.
MKLSB, asalnya anak syarikat Telekom Malaysia (TM), memegang lima konsesi berturut-turut sepanjang hampir 30 tahun. Pada 2022, TM memindahkan pemilikan syarikat itu kepada Hydroshoppe.
Plaintif mendakwa pihaknya telah banyak melabur dalam prasarana dan penyelenggaraan operasi menara sepanjang tempoh itu. Katanya, pihaknya menyaman untuk mendapatkan semula konsesi dan ganti rugi RM1 bilion atas penamatan konsesi yang didakwa secara salah.
Menafikan sebarang salah laku, defendan menegaskan bahawa plaintif maklum bahawa perjanjian interim yang dibuat berhubung konsesi itu akan tamat pada akhir bulan lepas dan pada 18 Dis 2024 telah mengeluarkan surat menamatkan perkhidmatan 205 kakitangannya
Defendan juga berkata, plaintif tahu dan turut menyertai RFP pada separuh pertama tahun lepas berikutan keputusan Jemaah Menteri pada Disember 2023.
Kerajaan mengumumkan LSH Service Master and LSH Best Builder sebagai pemegang konsesi baharu pada Mei tahun lepas.