
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim terdiri daripada Collin Lawrence Sequerah, Choo Kah Sing dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sequerah yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) gagal memenuhi ambang undang-undang untuk pemberian injunksi ad interim.
“Kami berpendapat tiada status quo untuk dikekalkan kerana perjanjian tambahan kelima telah luput pada 31 Mac tahun ini,” katanya.
Sequerah mengarahkan Hydroshoppe dan MKLSB membayar kos guaman berjumlah RM30,000 kepada responden.
Responden terdiri daripada Kementerian Komunikasi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kerajaan, LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada April lepas yang turut menolak permohonan injunksi ad interim.
Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman terhadap responden, mendakwa LSH dan unitnya telah menyebabkan pelanggaran kontrak yang telah dipersetujui oleh syarikat (Hydroshoppe dan MKLSB) dengan kerajaan dalam satu mesyuarat pada Ogos 2022.
Mereka mendakwa LSH Capital dan unitnya melakukan bantuan tidak jujur, dan mahu penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master diisytiharkan terbatal serta menyalahi undang-undang.
Mereka juga menuntut ganti rugi dianggarkan RM1 bilion dan konsesi bangunan ikonik Kuala Lumpur itu diserahkan semula kepada mereka.
Mahkamah Tinggi akan mendengar injunksi interparte pada 9 Jun ini.
Mahkamah juga akan mendengar permohonan penghinaan ex parte yang difailkan oleh syarikat-syarikat itu pada 5 Jun.
Pada prosiding hari ini, peguam Vinayak Sri Ram mewakili Hydroshoppe dan MKLSB, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi, Fahmi dan kerajaan.
Sementara itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.