
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa tuntutan Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara KL Sdn Bhd terhadap kerajaan dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang dinamakan sebagai defendan bersama, perlu diteruskan ke perbicaraan.
“Terdapat isu perlu dibicarakan berkaitan perjanjian 2022,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah membatalkan tuntutan Hydroshoppe terhadap pengendali baharu, LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd, dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Roz Mawar memutuskan bahawa Hydroshoppe gagal mengenal pasti dengan jelas asas tindakan terhadap ketiga-tiga entiti tersebut, sekali gus menyebabkan saman tersebut cacat.
Beliau turut memerintahkan Hydroshoppe membayar kos sebanyak RM20,000 kepada syarikat-syarikat tersebut.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes saman terhadap kerajaan dan Fahmi itu pada 3 Nov.
Pada Mac lalu, Hydroshoppe dan Menara KL memfailkan saman dengan mendakwa kerajaan melanggar kontrak dengan memberi konsesi pengurusan menara itu kepada kumpulan LSH.
Syarikat itu juga menuntut mahkamah mengisytiharkan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master sebagai terbatal dan tidak sah.
Hydroshoppe menuntut ganti rugi dianggarkan berjumlah lebih RM1 bilion.
Peguam Vinayak Sri Ram mewakili Hydroshoppe, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly mewakili kerajaan, dan Malik Imtiaz Sarwar mewakili LSH Service Master.