
Menurut UIAM, pihaknya memandang serius perkara itu dan kesal dengan tindakan ahli akademik tersebut. Langkah dalaman akan diambil selaras dengan prosedur sedia ada selepas penelitian itu selesai, tambahnya.
Pihak universiti juga berkata, kenyataan pensyarah itu sekali lagi mencemarkan integriti akademik dan reputasi UIAM, walaupun teguran telah diberikan kepada beliau sebelum ini agar lebih bertanggungjawab apabila mengulas isu-isu akademik.
“Pihak universiti sedar mengenai video tular di media sosial yang menimbulkan kekeliruan umum,” kata UIAM dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
“UIAM menegaskan, pandangan dan kenyataan yang dibuat ahli akademik itu adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.”
UIAM berkata, pihaknya mendukung kebebasan akademik, namun mengingatkan ahli akademiknya agar setiap kenyataan umum dibuat dengan penuh tanggungjawab dan berasaskan penyelidikan yang sahih.
“UIAM percaya keseimbangan antara kebebasan akademik dan tanggungjawab ilmiah amat penting bagi menjamin kredibiliti dunia akademik,” katanya menambah, tanggungjawab besar ahli akademik adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang tulen dan berfakta.
Walaupun UIAM tidak menamakan pensyarah terbabit, video tular itu mendedahkan pensyarah bahasa Arab Solehah Yaacob mendakwa orang Rom mempelajari teknik pembinaan kapal daripada orang Melayu.
Kenyataan itu dipercayai dibuat berikutan penemuan rangka kapal abad ke-13 berdekatan Pulau Melaka pada Jumaat lepas.
Penemuan rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun itu dianggap antara yang tertua pernah dijumpai di perairan negara dan merupakan satu mercu tanda penting dalam sejarah arkeologi Malaysia.
Solehah sebelum ini juga pernah mencetuskan kontroversi dengan beberapa kenyataan lain.
Antara dakwaan beliau termasuklah orang Melayu kuno boleh terbang dan mengajar ‘kung fu terbang’ kepada orang Cina, selain mendakwa isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah Khuwailid, berasal dari alam Melayu.