
Beliau berkata, bapanya bergantung kepada proses perundingan nasional yang tersusun untuk merombak sistem politik dan ekonomi Malaysia dalam era pasca 1969 selepas trauma peristiwa 13 Mei.
Katanya, pendekatan sama mungkin diperlukan sekali lagi bagi mempersiapkan negara menghadapi masa depan, kata Nazir kepada FMT dalam satu temu bual.
Nazir mengimbas pencapaian bapanya, terutama pemulihan demokrasi berparlimen, penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rukun Negara, serta penubuhan Petronas. “Sistem telah dirombak,” katanya, sambil menjelaskan bapanya bergantung kepada proses perundingan yang meluas sehingga terhasilnya DEB.
“Namun, rombakan yang memperkenalkan DEB dan sebagainya itu tidak pernah dimaksudkan untuk kekal selama-lamanya. Ia relevan untuk rakyat Malaysia pada ketika itu. Persoalannya, adakah ia masih relevan untuk rakyat Malaysia hari ini?” kata Nazir, sambil mengingatkan DEB direka sebagai pelan 20 tahun tetapi masih berkuat kuasa lima dekad kemudian.
Beliau mempersoalkan sama ada tujuan asal dan hasil dasar itu masih seiring dengan realiti semasa.
“Dasar ini termasuk Rukun Negara, saya pasti masih relevan untuk rakyat Malaysia hari ini,” katanya. “Namun, pada satu tahap, kita perlu menilai semula sama ada terdapat kelemahan, sama ada ia boleh diperhalusi dan apakah sebenar maknanya. Inilah perkara yang saya fikir perlu kita teliti semula.”
“Saya sebenarnya berpendapat Malaysia perlu melalui satu lagi proses perundingan nasional,” katanya, menegaskan ia mesti melangkaui perbahasan di Parlimen.

“Saya tidak rasa perkara ini boleh dilakukan di Parlimen. Salah satu kegagalan demokrasi di seluruh dunia ialah sistem parti politik, di mana ahli politik bercakap bukan semestinya berdasarkan apa yang mereka percaya.
“Sebaliknya, mereka bercakap berdasarkan apa yang menguntungkan secara politik atau apa yang diarahkan oleh pihak parti,” katanya.
Beliau mencadangkan Malaysia menghidupkan semula dialog nasional seperti diterajui bapanya pada 1971 — yang bersifat inklusif, terancang dan berfokus kepada hasil jangka panjang.
Wang kerajaan dan keperluan peribadi
Mengulas mengenai institusi diperlukan untuk membimbing pelaksanaan dasar serta memacu negara ke hadapan, Nazir mengenang kisah tentang disiplin fiskal Razak dan budaya integriti yang menjadi asas kepada institusi yang dibina semasa kepimpinan perdana menteri kedua itu.
“Terdapat banyak cerita tentang bagaimana beliau sangat berhati-hati dalam membelanjakan wang kerajaan,” kata Nazir. “Beliau malah berasa amat marah apabila seseorang secara tidak sengaja mengenakan caj kos ubat giginya kepada kerajaan.
“Beliau juga terkenal kerana memindahkan keseluruhan rombongannya dari sebuah hotel lima bintang ke hotel tiga atau empat bintang lain (di Switzerland) kerana merasakan hotel pertama itu terlalu mahal untuk kerajaan.”
Nazir berkata, integriti amat penting dalam pembinaan institusi. “Budaya akan merosot dengan sangat cepat apabila wujud isu integriti di peringkat atasan,” katanya. “Apabila mereka memandang ke atas dan berkata, ‘oh, terdapat pelbagai urus niaga sampingan yang meragukan dilakukan oleh lembaga pengarah atau atas arahan ahli politik’. Pada ketika itulah institusi akan runtuh.”
Katanya, Malaysia mesti kembali kepada budaya kepimpinan yang berteraskan khidmat kepada negara, kejelasan misi dan tadbir urus berasaskan nilai.
Menurutnya, membina semula kepercayaan terhadap integriti institusi dan pemimpin memerlukan pendekatan ‘ganjaran dan hukuman’, dengan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai aspek hukuman.
“Berbincang dengan pemimpin dan pengurusan institusi-institusi ini, berbincang tentang misi, tentang tujuan, kepentingan apa yang dilakukan…memperteguhkan semula nilai-nilai sebegitu dalam kepimpinan adalah sama penting,” katanya.
Razak adalah perdana menteri kedua dari 22 Sept 1970 hingga kematiannya pada 14 Jan 1976, selepas berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri sejak 1957, dan dikenang sebagai Bapa Pembangunan.
Anaknya, Nazir adalah pengerusi Yayasan Tun Razak yang ditubuhkan bawah Akta Parlimen pada Oktober 1976 untuk terus mengangkat legasi kepimpinan dan pemikirannya kepada generasi baharu. Maklumat lanjut boleh didapati di yayasantunrazak.org.my.