
Beliau yang juga menteri komunikasi berkata membincangkan perkara itu di Dewan Rakyat juga bersifat pramatang memandangkan kajian yang dijalankan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masih belum selesai.
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan (di Dewan Rakyat) pada waktu ini. Kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.
“Ketika ini Kabinet tidak ada sebarang perbincangan tentang cadangan tersebut, belum dibentangkan hasil kajian UIA,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Magna AI dan Kumpulan Zchwantech.
Beliau berkata demikian mengulas desakan Ketua Whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan supaya kerajaan mengadakan sesi penerangan menteri di Parlimen dan membuka ruang perbahasan wakil rakyat berhubung cadangan itu.
Bagaimanapun, Fahmi berkata mana-mana wakil rakyat termasuk pembangkang boleh membangkitkan perkara itu menerusi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.
“Tapi kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya (pembangkang) berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh-boleh bangkitkan dalam MQT,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kerajaan bakal mengadakan siri perbincangan bersama Majlis Media Malaysia (MMM) bagi mengkaji semula atau memansuhkan undang-undang media sedia ada bagi mengelakkan pertindihan peraturan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras kematangan negara
“Perdana menteri ada hubungi saya tengah malam tadi untuk bincangkan perkara ini. Apa yang beliau sampaikan, maklumkan kepada saya berkait juga dengan memantapkan MMM.
“Kita juga sediakan dana inovasi media untuk bantu lebih banyak organisasi media berdepan dengan cabaran dan perubahan yang terlalu mendadak, mengakibatkan ada kehilangan perbelanjaan pengiklanan,” katanya.