
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan perlu menjelaskan pemilihan universiti itu sedangkan ada banyak institusi pengajian tinggi lain mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
“Kami nak tahu kenapa pilih UIAM? Terdapat banyak lagi universiti ‘lebih senior’ di negara ini, misalnya Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya, atau gabungan beberapa universiti.
“Jangan tolak tepi Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga, itu universiti yang sangat senior,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam sidang media di bangunan Parlimen.
Selasa lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur dimulakan UIAM sejak Disember lalu ketika Dr Zaliha Mustafa menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.
Katanya, terlalu awal untuk mengulas lanjut kajian itu yang masih di peringkat awal.
Sementara itu, Takiyuddin mempersoalkan keperluan menukar sistem pelantikan datuk bandar yang menurutnya berjalan lancar di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 lebih 60 tahun.
“Apa kelemahan datuk bandar dilantik daripada pegawai tadbir diplomatik ataupun bekas pegawai tadbir? Adakah akta ini menyebabkan masalah dalam pentadbiran bandar raya? Tidak ada.”
Setiausaha agung PAS itu memberi amaran pilihan raya tempatan pernah mencetuskan polarisasi kaum.
“Kita tahu kesan daripada pilihan raya kerajaan tempatan berlaku suatu masa dulu. Bandar-bandar ini tidak dapat dinafikan satu fakta, dikuasai kaum-kaum tertentu menyebabkan berlaku polarisasi kaum dan juga ketegangan kaum.
“Apatah lagi ianya melibatkan ibu kota persekutuan,” katanya sambil menggesa kerajaan telus dengan cadangan pilihan raya itu.
“Itu yang kita mahu penjelasan daripada kerajaan. Kalau boleh buat penerangan menteri, buka perbahasan. Kita baca dan kita bersedia untuk debat.”