UIAM belum buat kajian pilihan raya datuk bandar KL

UIAM belum buat kajian pilihan raya datuk bandar KL

Presiden UIAM Abdul Rashid Hussain berkata, universiti itu tunggu pengesahan dan perician lanjut mengenai hasil daripada kajian berkenaan.

IIUM international-islamic-university
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum ini dilaporkan sudah memulakan kajian berkaitan kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masih belum memulakan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Presiden UIAM Abdul Rashid Hussain berkata ia hanya membabitkan kajian akademik yang masih belum siap, lapor Utusan Malaysia.

“Kita hanya diarahkan untuk buat kajian akademik dan kita tidak buat sebarang keputusan berkenaan perkara ini.

“Kita masih memerlukan pengesahan daripada pihak yang melantik kita, apa sebenarnya yang mereka hendak daripada kajian yang kami nak buat ini,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.

Abdul Rashid Hussain
Abdul Rashid Hussain.

Katanya, penjelasan lanjut daripada pihak pelantik diperlukan sebelum kajian itu dimulakan secara rasmi.

Rashid berkata, penyelidikan dijangka melibatkan pelbagai disiplin dan tidak dilaksanakan oleh satu jabatan sahaja, memandangkan isu yang dikaji mempunyai implikasi luas terhadap tadbir urus bandar dan sistem pentadbiran.

Awal bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur dimulakan UIAM sejak Disember lalu ketika Dr Zaliha Mustafa menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata terlalu awal untuk mengulas lanjut berhubung kajian itu yang masih di peringkat awal.

Yeoh sebelum ini menegaskan kajian perlu dilakukan secara menyeluruh terhadap cadangan mengadakan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur susulan bantahan beberapa pihak.

Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur, tetapi dibantah beberapa pihak termasuk pimpinan Umno dan PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.