
Fahmi menyuarakan kekecewaan terhadap kritikan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan mengenai kemampuan UIAM mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya tempatan.
“Sebagai setiausaha agung (PAS), beliau tidak sepatutnya memandang rendah institusi pengajian tinggi kita, terutamanya UIAM,” katanya selepas Mesyuarat Kabinet.
Semalam, Takiyuddin berkata adalah lebih baik melantik universiti lain yang ‘lebih senior’ seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Teknologi Mara, atau sebuah konsortium universiti, untuk menjalankan kajian berkenaan.
Kenyataannya menyusul selepas Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh menyatakan UIAM telah pun menjalankan kajian kebolehlaksanaan berkenaan sejak Disember lalu, ketika Dr Zaliha Mustafa menerajui portfolio itu.
Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata Kabinet belum lagi membincangkan kajian tersebut, memandangkan ia hanya diberitahu mengenainya secara tidak rasmi dan tiada kertas cadangan rasmi dibentangkan.
Pasukan petugas tangani salah guna pas sosial
Fahmi berkata, Kabinet memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas rentas kementerian, diketuai Kementerian Kewangan bagi menangani isu penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan dan isu lain berkaitan penguatkuasaan.
Kementerian lain yang turut terlibat termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Dalam Negeri, serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Beliau berkata, pasukan petugas itu akan memberi keutamaan kepada penyelarasan penguatkuasaan dan isu berkaitan perundangan.