
Penyiasat sedang mencari dokumen berkaitan urusan perniagaan AFA dengan syarikat TourProdEnter.
Firma berdaftar di Amerika Syarikat (AS) itu dilaporkan mengumpul lebih USD260 juta hasil penajaan dan yuran penyiaran antarabangsa bagi pihak AFA sepanjang empat tahun lalu.
Walaupun sebahagian besar wang itu digunakan untuk membiayai aktiviti AFA, sejumlah USD42 juta didakwa dipindahkan ke empat syarikat berdaftar di Florida, AS, menurut laporan akhbar La Nación.
Syarikat itu dikatakan ditubuhkan individu disyaki proksi di Argentina. Bagaimanapun, AFA menafikan sebarang salah laku.
Menurut laporan itu, syarikat terbabit membayar invois jutaan dolar bagi penyewaan pesawat peribadi, kapal persiaran mewah, kereta dan hartanah. Buat masa ini, belum dapat dipastikan pihak yang akhirnya mendapat manfaat daripada transaksi berkenaan.
AFA dalam kenyataan mengesahkan mereka mempunyai kontrak sah dengan TourProdEnter untuk mewakili kepentingan komersialnya di luar negara.
Katanya, hubungan perniagaan itu telah disemak mahkamah di AS serta Argentina dan tiada penyelewengan ditemui.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan TourProdEnter ditahan polis di lapangan terbang Buenos Aires semasa cuba menaiki pesawat peribadi ke Uruguay. Kediaman peribadinya turut digeledah.
Serbuan itu dilakukan hanya tiga minggu selepas polis menggeledah ibu pejabat AFA sebelum ini sebagai sebahagian siasatan pengubahan wang haram berasingan.