
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata suspek berusia 62 tahun itu direman tujuh hari sehingga 3 Jan depan bagi membantu siasatan.
Katanya permohonan reman itu dibacakan di hadapan Majistret Siti Nur Ain di Zon Merah, Hospital Tunku Jaafar (HTJ) memandangkan suspek masih dalam rawatan.
“Susulan kes letupan di kawasan parkir kenderaan dekat Desa Palma baru-baru ini, polis menahan suspek di Batang Benar, Nilai, jam 4.15 petang semalam.
“Dia direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 Jan depan.
“Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Semalam media melaporkan suspek ditahan dalam keadaan lemah dan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan serta muka.
Dalam kejadian awal pagi 22 Disember lalu, IED dikatakan meletup di dalam kereta ketika suspek mengalihkan peranti sebelum melarikan diri.
Polis meminta bantuan orang awam mengesan suspek yang menjadikan sebuah rumah di Desa Palma sebagai makmal selain dia dikenal pasti mempunyai pengetahuan mengenai pembuatan IED.