Pengasuh taska disyaki dera bayi ditahan

Pengasuh taska disyaki dera bayi ditahan

Ketua Polis Cheras Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kes itu dan siasatan mendapati hanya seorang suspek terlibat.

pengasuh dera bayi 6 bulan
Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup tular menunjukkan beberapa bayi didera oleh pengasuh di sebuah taska di Alam Indah, Cheras.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang pengasuh dipercayai terlibat kes penderaan melibatkan beberapa bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan di sebuah taska di Alam Indah, Cheras, di sini.

Ketua Polis Cheras, Aidil Bolhassan, berkata wanita tempatan berusia 26 tahun itu ditahan pada 16 Dis susulan laporan diterima pihaknya.

“Sebanyak tiga laporan diterima berkaitan kes ini dan siasatan mendapati hanya seorang sahaja suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) a Akta Kanak-Kanak 2001 dan dilakukan oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan anaknya berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar pengasuh di taska terbabit.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan ibu bapa lain selain terdapat dakwaan beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.