
Mesyuarat ini akan memilih lembaga tadbir pertama MMM, yang terdiri daripada wakil syarikat media, pengamal media, pertubuhan media, serta organisasi dan individu yang mewakili kepentingan awam.
Lembaga tersebut akan mempunyai 12 ahli terpilih, disertai oleh sehingga enam ahli lantikan dan dua wakil kerajaan, menjadikan keseluruhannya 20 ahli, bersama seorang pengerusi lantikan. Lembaga baharu ini akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun.
AGM ini dianjurkan oleh lembaga pengasas MMM, yang diberi mandat untuk untuk membuka keahlian, memanggil AGM pertama, dan mengadakan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pelantikannya oleh menteri komunikasi pada Julai 2025.
Antara usul yang akan dibincangkan pada Jumaat adalah kod etika dan mekanisme aduan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli lembaga pengasas atas dedikasi mereka dalam membangunkan organisasi permulaan ini. Mereka menyumbang sepenuhnya secara sukarela tanpa sebarang pembiayaan khusus,” kata Pengerusi Interim Premesh Chandran dalam kenyataan oleh lembaga pengasas MMM.
MMM ialah badan bebas ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara, dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media.
Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Feb.
Sementara itu, lembaga pengasas mengenal pasti lima bidang keutamaan untuk fasa MMM seterusnya, iaitu pengukuhan institusi, reformasi undang-undang media, kelestarian dan inovasi media, literasi media, dan pembangunan kemahiran kewartawanan.
Reformasi undang-undang media menyentuh kemas kini undang-undang fitnah jenayah dan sivil bagi mempertahankan kepentingan awam bagi wartawan, antara lain.
Kelestarian dan inovasi media pula, antaranya, berkenaan model langganan yang lebih baik, dasar penggunaan adil yang jelas serta insentif cukai.