Penubuhan majlis media reformasi besar dibawa kerajaan, kata Fahmi

Penubuhan majlis media reformasi besar dibawa kerajaan, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata kerajaan berjaya merealisasikan Akta Majlis Media Malaysia selepas 50 tahun ditunggu pengamal media.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika berucap di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di Kuala Lumpur semalam. (Gambar Bernama)
LUMUT:
Akta Majlis Media Malaysia (MMM) yang berkuat kuasa semalam merupakan satu reformasi paling bermakna dalam landskap kewartawanan negara yang direalisasikan menerusi kerajaan Madani.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan Madani berjaya merealisasikan penubuhan MMM setelah 50 tahun pengamal media mengharapkan majlis itu diwujudkan.

“Ini adalah reformasi paling besar yang kita (kerajaan Madani) bawa. Adanya Majlis Media Malaysia bermaksud organisasi media boleh membincangkan isu-isu sama ada etika kewartawanan ataupun masa depan media dalam negara kita secara sendiri, berdikari, bebas tanpa diganggu ataupun dipengaruh oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan.

“Kita, terutama kawan-kawan dalam PKR, dalam Pakatan Harapan, malah juga kawan-kawan dalam Umno yang sentiasa perjuangkan kebebasan media, perkara itu (kebebasan media) telah menjadi satu realiti dengan terbentuknya majlis media ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Menteri Komunikasi Bersama Komuniti Madani sempena Program Akademi Asas Penerangan Zon Utara B anjuran Jabatan Penerangan di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL-MIMET).

Pada sidang media selepas Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di Kuala Lumpur semalam, Fahmi mengumumkan Akta MMM mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.

Fahmi turut memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan 12 anggota Lembaga Pengasas MMM dalam masa terdekat bagi membantu proses membangunkan majlis berkenaan.

Sambutan Hawana 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.