Kuat kuasa majlis media langkah bersejarah, penuhi agenda reformasi

Kuat kuasa majlis media langkah bersejarah, penuhi agenda reformasi

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata ia juga tanda peralihan daripada kerangka intervensi kerajaan kepada kerangka kawalan kendiri.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, berkata penubuhan Majlis Media Malaysia sejajar janji manifesto dibuat PH pada PRU15.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata penguatkuasaan Akta Majlis Media Malaysia 2025 hari ini merupakan langkah bersejarah kerajaan melaksanakan reformasi institusi dan kebebasan media.

Katanya, ia juga menandakan peralihan negara daripada kerangka intervensi kerajaan kepada kerangka kawalan kendiri.

“Rungutan, aduan, ketidakpuasan hati, dan apa-apa perkara yang perlu resolusi berkaitan pelaporan oleh media akan diuruskan dan diselesaikan oleh mekanisme penyelesaian yang akan dirangka melalui akta ini kelak,” katanya dalam catatan di Facebook.

Syahredzan berkata, dengan akta tersebut kebergantungan masyarakat kepada sistem kehakiman sama ada melalui saman sivil atau pendakwaan jenayah, bagi menguruskan aduan mengenai media akan berkurangan.

“Tindakan ke atas badan dan pengamal media atas talian melalui undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia juga wajar diminimakan,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan penguatkuasaan hari ini akta berkenaan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana), dan menyatakan lembaga pengasas majlis media telah dimuktamadkan.

Majlis itu akan berfungsi sebagai badan bebas kawal selia kendiri yang melindungi kebebasan media dan memastikan pematuhan piawaian kewartawanan etika.

Syahredzan, yang juga naib pengerusi DAP, berkata akta berkenaan juga merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) ‘Kita Boleh’ pada PRU15.

Namun, beliau menyeru kerajaan terus melaksanakan agenda reformasi dengan membuat semakan semula ke atas undang-undang yang mengekang kebebasan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, supaya ia selari dengan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.