
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) Teh Athira Yusof berkata inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi juga dapat membantu mencapai aspirasi kebebasan media.
Menurutnya, kewujudan badan kawal selia bebas seperti MMM diharapkan dapat membantu memperbaiki landskap media yang berdepan cabaran seperti laporan tidak beretika, palsu serta ancaman terhadap kebebasan bersuara.
“NUJM mahu melihat MMM menetapkan garis panduan jelas dan mekanisme penyelesaian aduan adil supaya wartawan dapat menjalankan tugas mereka secara bebas.
“Tetapi pada masa sama mematuhi piawaian kewartawanan tinggi,” katanya kepada FMT mengulas kelulusan Rang Undang-Undang MMM selepas mendapat sokongan majoriti wakil rakyat di Parlimen, Rabu lalu.
Pada sidang itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menolak kebimbangan bahawa majlis itu boleh mengehadkan kebebasan media, menegaskan ia akan melindungi wartawan.
Beliau juga jaminan dua wakil kerajaan dalam lembaga 21 anggota itu tidak akan menjejaskan kebebasan majlis itu, kerana mereka mungkin daripada agensi media seperti RTM dan Bernama.
“Mengatakan bahawa MMM tidak lagi bebas hanya kerana dua wakil ini adalah memandang rendah integriti ahli lembaga pengarah yang lain, termasuk pengamal media, pemimpin industri dan ahli akademik.”
Jurucakap Gerakan Media Merdeka (GERAMM) Radzi Razak pula berpendapat penubuhan MMM membantu langkah awal ke arah sistem kawal selia kendiri lebih baik untuk industri media negara.
Beliau bagaimanapun berharap MMM tidak menjadi sekadar badan simbolik tetapi benar-benar berperanan melindungi wartawan, menangani isu etika secara adil dan mempertahankan kebebasan editorial.
“Kami berharap seluruh industri media termasuk syarikat penerbitan dan wartawan sendir bersama-sama menjayakan majlis ini,
“Pastikannya berfungsi sebagai platform bebas, telus dan berintegriti,” katanya.