3 warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh 2 beranak

3 warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh 2 beranak

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata dua suspek ditahan di Kulim dan seorang lagi di Selangor dipercayai cuba larikan diri.

Azizee Ismail
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman. (Gambar Facebook)
BUKIT MERTAJAM:
Polis menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kejadian bunuh, membabitkan seorang wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail ketika dihubungi Bernama berkata mereka ditahan secara berasingan hari ini iaitu dua lelaki di Kulim, Kedah dan seorang lagi di Selangor dipercayai cuba melarikan diri.

“Semua mereka yang berusia 30-an hingga 40-an itu, mengenali antara satu sama lain dan polis akan membawa mereka ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman.

“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan polis percaya penahanan tiga lelaki tersebut akan dapat membantu siasatan kes bunuh membabitkan dua beranak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata manakala suami mangsa yang berusia 57 tahun juga akan dibawa ke mahkamah sama esok dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat esok.

Difahamkan seorang daripada tiga lelaki yang ditahan itu merupakan suspek utama kes bunuh tersebut.

Media pada Sabtu lepas melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa bunuh.

Azizee dilaporkan berkata mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan reman suami wanita terbabit yang berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Okt bagi membantu siasatan.

Polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan dan mereka direman tujuh hari sehingga 26 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.