
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis kini sedang menyusun semula jadual rondaan berdasarkan keutamaan dan keperluan setiap kawasan.
“Daripada 12,000 sekolah di seluruh negara, pihak sekolah mempunyai data mengenai tahap disiplin pelajar.
“Termasuk dalam isu ponteng, gangsterisme dan pengaruh media sosial yang memberi kesan kepada tingkah laku murid,” katanya selepas menghadiri Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025.
Minggu lalu, Kabinet mengarahkan Kementerian Dalam Negeri untuk menambah kekerapan rondaan polis di sekolah di seluruh negara.
Perkembangan itu susulan peningkatan gejala sosial dan kes jenayah terbaharu membabitkan pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama selepas ditikam pelajar berusia 14 tahun, 14 Okt lalu.
KPM turut mengumumkan beberapa langkah tambahan untuk memperkukuh aspek keselamatan dan disiplin pelajar di sekolah.
Antaranya peruntukan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terpilih di seluruh negara — menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM8 juta, termasuk RM3 juta yang diumumkan sebelum ini.