
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata guru di sekolah itu diselubungi kesugulan, kepiluan dan menyalahkan diri sendiri.
Katanya, situasi itu sangat membimbangkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem sekolah jika tidak ditangani segera.
“Latihan penjagaan dan sokongan guru ini sangat penting. Guru-guru ini masih perlukan sokongan psikososial. Hari pertama sekolah, kita gerakkan 50 pakar psikososial untuk bagi tumpuan kepada sekolah ini sahaja.
“Hari kedua dan ketiga, difahamkan hanya kira-kira 200 pelajar hadir daripada lebih 1,000 pelajar. Hari ini lebih 800 pelajar telah hadir. Ini berpunca daripada intervensi awal yang kami lakukan sejak hari pertama,” katanya dalam sesi pertemuan menteri pendidikan bersama editor kanan media, lapor Bernama.
Fadhlina berkata, dalam pembaharuan segera KPM, latihan penjagaan dan sokongan guru diperkukuh dengan pendekatan baharu merangkumi persediaan menghadapi trauma termasuk latihan ‘act, barricade and call’ (bertindak, kepung dan dapatkan pertolongan) bagi memastikan warga sekolah lebih bersedia dalam menghadapi cabaran luar jangka.
Beliau berkata, trauma dialami guru boleh memberikan kesan kepada penyampaian pendidikan seterusnya terhadap pelajar, justeru aspek sokongan menyeluruh amat kritikal.
Penjagaan dan sokongan guru antara lima fokus utama kerangka perubahan segera KPM bersama pemerkasaan program pendidikan kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, dasar perlindungan kanak-kanak serta penguatan suara pelajar.
“Saya tekankan dalam pembaharuan segera, suara pelajar. Ini yang selalu orang tertinggal. Tetapi kali ini kita perlu dengar suara anak-anak kita. Apa dia nak, apa dia perlukan. Sebab sepanjang sesi saya di (sekolah) Bandar Utama, saya duduk dengan anak-anak ini sekejap.
“Walaupun sekejap, tapi persoalan mereka kita kena jawab. Apa kebimbangan mereka? Kalau tak ada kaunselor yang boleh jawab persoalan itu, ia akan bermain dalam pemikiran mereka,” katanya.
Dalam kejadian 14 Okt lalus, seorang pelajar perempuan maut ditikam remaja lelaki berusia 14 tahun di tandas sekolah menengah di Bandar Utama, antara 9.20 hingga 9.35 pagi.