Pasport menantu Muhyiddin sudah batal

Pasport menantu Muhyiddin sudah batal

Menteri KDN berkata, pihaknya akan semak bagaimana Adlan Berhan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.

Adlan Berhan
Menantu bekas PM Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport milik menantu Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan telah dibatalkan.

Saifuddin berkata, ia susulan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membatalkan pasport individu yang dikehendaki itu.

“Saya difahamkan oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport individu tersebut dan hal itu telah pun dilaksanakan. Itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Beliau berkata, polis serta Jabatan Imigresen akan membantu membawa pulang Adlan, yang kini dipercayai berada di luar negara, bagi tujuan siasatan SPRM.

“Individu tersebut sememangnya dikehendaki untuk tujuan siasatan oleh SPRM. Jadi, bagaimana dua agensi di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen dan polis boleh membantu untuk membawa pulang (individu tersebut), itu keutamaan kami,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya juga akan menyemak bagaimana Adlan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan menantu bekas perdana menteri itu berada di sebuah negara Asia Barat seperti yang dilaporkan media hari ini.

Adlan meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.