Polis buat lawatan mengejut di semua sekolah Melaka

Polis buat lawatan mengejut di semua sekolah Melaka

Telefon bimbit dan daun terup antara dikesan dibawa pelajar ke sekolah.

pelajar sekolah menengah
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, berkata 12 kes berkait rogol berlaku melibatkan pelajar sekolah bagi tempoh Januari hingga September lalu. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Pendekatan lawatan secara mengejut ke semua sekolah di Melaka bermula hari ini bukan bertujuan mengambil alih peranan sekolah, sebaliknya langkah sokongan memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan terkawal.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, berkata meskipun indeks jenayah membabitkan pelajar sekolah berumur 13 hingga 17 tahun tahun ini menurun berbanding 2024, lawatan mengejut itu tetap diteruskan sebagai nilai tambah usaha mengekang jenayah melibatkan golongan itu.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tangkapan bagi jenayah kekerasan, Melaka Tengah mencatatkan 24 kes berbanding 34 kes pada tahun lalu, manakala Alor Gajah dan Jasin masing-masing tujuh dan lima kes.

Dzulkhairi berkata, bagi jenayah harta benda pula 44 kes dicatatkan di Melaka Tengah, Alor Gajah (18 kes), dan Jasin (enam kes) bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Kami selama ini lebih kepada pendekatan secara lembut, tetapi adakalanya kami perlu bersifat secara tegas untuk ke arah kebaikan. Biarlah anak-anak ini menangis sekarang daripada kita yang menangis kemudian hari.

“Jadi, lawatan ini bukan sekadar penguatkuasaan tetapi turut memberi penekanan kepada pencegahan dan pendidikan, antaranya melibatkan pemeriksaan beg pelajar dan barangan larangan seperti telefon bimbit bagi penyebaran bahan tidak bermoral,” katanya selepas melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah sekolah di Bukit Baharu.

Dzulkhairi berkata, pelaksanaan lawatan secara mengejut bermula hari ini adalah yang pertama di Melaka dan akan melibatkan semua 336 sekolah di seluruh Melaka yang dilakukan oleh pasukan polis daerah serta jabatan siasatan jenayah secara berterusan.

Beliau berkata, kerjasama ibu bapa juga amat penting kerana kebanyakan masalah disiplin dan jenayah di sekolah berpunca daripada kurangnya pemantauan di rumah dan sikap menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru, sekali gus membuka ruang kepada pelajar membawa membawa bahan terlarang ke sekolah.

“Seperti pemeriksaan hari ini, kami dapati ada pelajar yang membawa daun terup dan telefon bimbit, dan semua ini perlu dipantau untuk pastikan mereka tidak terjerumus lebih jauh daripada landasan sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kes jenayah membabitkan pelajar sekolah, Dzulkhari berkata 12 kes dicatatkan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu jenayah berkaitan rogol bagi tempoh Januari hingga September lalu.

“Sementara dua kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan turut direkodkan masing-masing di Melaka Tengah dan Jasin bagi tempoh yang sama, manakala 18 kes di bawah Seksyen 324/325/326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau objek berbahaya.

“Bagi kesalahan melibatkan harta benda, lima kes direkodkan di bawah Seksyen 381/380/379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan mencuri dalam bangunan, manakala 18 kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagian komponennya,” katanya.

Beliau berkata, jenayah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah dengan 16 kes turut direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.