Kes selesai, dakwaan APMM ‘serbu’ Masjid Rusila hanya salah faham, kata menteri KDN

Kes selesai, dakwaan APMM ‘serbu’ Masjid Rusila hanya salah faham, kata menteri KDN

Polis dapati tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku dan penerangan lengkap telah diberikan kepada pengurusan masjid, kata Saifuddin Nasution Ismail.

maritim masjid
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu anggota APMM singgah solat di Masjid Rusila telah diurus dengan baik bulan lepas. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Dakwaan bahawa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 Sept lepas hanyalah salah faham dan telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota APMM yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang, dan insiden itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

“Janganlah melebih-lebihkan satu program yang bertujuan melahirkan pasukan elit tanpa meneliti fakta sebenar,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

“Perkara ini telah diurus dengan baik bulan lepas, namun tiba-tiba diberi gambaran seolah-olah berlaku serbuan komando masuk ruang solat dengan memakai kasut, sedangkan perkara ini amat sensitif.”

Saifuddin berkata, latihan itu dijalankan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan ‘checkpoint’.

Masjid Rusila adalah satu daripada tempat persinggahan untuk menunaikan solat semata-mata, tambahnya.

Beliau berkata, kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) setelah polis mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku dan penerangan lengkap telah diberikan kepada pengurusan masjid.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan tersebut dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut.

Sehubungan itu, Saifuddin mengingatkan semua pihak agar berpada-pada dalam membincangkan perkara yang boleh menjejaskan tanggungjawab pasukan penguatkuasaan negara.

“Biar kita berlaku adil dalam menyampaikan maklumat, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar, supaya tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.