
Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata garis panduan itu penting untuk memastikan pelajar memahami batas penggunaan media sosial dengan selamat, terutama melibatkan penyebaran maklumat palsu serta pendedahan kepada kandungan berisiko tinggi.
“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi menggubal garis panduan khusus penggunaan media sosial di kalangan pelajar termasuk disiplin berkait penyebaran maklumat palsu dan pendedahan kepada kandungan berisiko tinggi.
“Ini supaya pelajar faham sempadan penggunaan digital yang selamat dalam konteks pembelajaran serta kehidupan sosial,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk beberapa insiden membabitkan gejala sosial di sekolah termasuk berlaku di Baling, Kedah, baru-baru ini.
Kes yang pada mulanya dilaporkan atas kesalahan rogol sebenarnya membabitkan aktiviti seksual di antara suspek dan mangsa sejak Mei hingga Ogos tahun ini, sebelum kegiatan mereka terbongkar berikutan penyebaran video lucah Ahad lalu.
Shaiful berkata kerjasama dua hala antara guru dan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan pemantauan disiplin pelajar berlaku secara berterusan, bukan hanya ketika di sekolah tetapi juga di rumah.
“Polis juga perlu melaksanakan lawatan dan dialog berkala ke sekolah berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan serta kesedaran undang-undang, manakala penambahan kaunselor terlatih penting untuk membantu pelajar menangani tekanan sosial dan pengaruh luar.
“Isu disiplin memerlukan sinergi menyeluruh antara sekolah, ibu bapa, agensi keselamatan dan masyarakat,” katanya.