
Shamsul yang juga ketua PKR Hang Tuah Jaya itu berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu bersiap sedia menghadapi taktik pembangkang yang disifatkan sering menggunakan pendekatan penipuan maklumat untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Kita lihat bila kita jadi kerajaan, pendekatan pembangkang adalah melakukan penipuan demi penipuan, menggunakan media sosial sebagai saluran menyebarkan fakta tidak benar,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi PKR di Melaka.
“Sebab itu, kita mesti bekerja lebih keras lagi dengan menjadikan medan media sosial sebagai medan pertempuran yang baharu, termasuk dengan pendekatan terkini seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI).”
Turut hadir pada acara itu Presiden PKR, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Adam Adli dan Ketua Amanah Melaka Adly Zahari serta pimpinan utama lain.
Shamsul turut memuji komitmen Anwar, yang menurutnya terus menunjukkan kesungguhan bekerja untuk rakyat walaupun sudah berusia 78 tahun.
“Semalam pagi di Putrajaya, petang di Inanam, malam di Sandakan (Sabah). Pagi ini di Sandakan lagi, tengah hari mesyuarat kerajaan negeri (Melaka). Esok mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.
“Bila beliau rehat, bila tidur? Kalau beliau boleh bekerja sekuat itu, kita pun mesti lebih kuat dari itu,” katanya.
Shamsul menegaskan, perjuangan reformasi tidak boleh hanya bergantung pada pimpinan tertinggi, tetapi memerlukan kesatuan dan semangat seluruh jentera parti.
“Kita nak jadikan diri kita semua ini sebagai ‘friends of reform’, sahabat untuk (bersama-sama) melakukan perubahan,” katanya.
Melaka mempunyai 28 DUN dengan 21 kerusi dipegang Barisan Nasional, lima PH dan dua Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2021.
Penggal DUN Melaka dijadualkan tamat pada November tahun depan.