Laksana pelan tindakan segera tangani isu keselamatan sekolah

Laksana pelan tindakan segera tangani isu keselamatan sekolah

Setiap murid berhak berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, sejahtera dan menyokong perkembangan mental serta emosi mereka.

Insiden tragis menimpa seorang pelajar di Bandar Utama benar-benar meruntun hati rakyat Malaysia. Fokus kes ini bukan sahaja tentang kehilangan nyawa seorang pelajar berpotensi, malah fokus rakyat di seluruh pelosok negara juga tertumpu kepada – apakah yang menyebabkan kita secara kolektifnya gagal dalam mencegah mangsa daripada diseksa dengan 200 tikaman pisau.

Pelbagai saranan dikeluarkan semua pihak, namun yang paling signifikan ketika ini adalah langkah dicadangkan kerajaan persekutuan dalam usaha meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak di negara ini khususnya di sekolah, seperti diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semalam.

Antara cadangan tersebut adalah menempatkan anggota polis di sekolah seluruh negara, memastikan pemeriksaan mengejut dijalankan secara rawak di sekolah dan menaikkan had umur pengguna media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.

Saya lega dengan beberapa cadangan yang dikemukakan kerana ini amat bertepatan dengan masa sebagai langkah drastik menangani isu keselamatan murid yang semakin membimbangkan – dalam tempoh pendek ketika ini. Sekiranya kita masih mahu memulakan dengan soal selidik, kajian, garis panduan ataupun dasar, ini semestinya akan menimbulkan rasa gusar semua pihak kerana langkah drastik perlu dilaksanakan pada saat ini juga.

Sebagai exco kesihatan awam, cadangan paling menarik perhatian saya adalah menaikkan umur pengguna media sosial kepada 16 tahun dan dikuatkuasakan melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID. Ini bermaksud, kawalan menjadi lebih ketat dan tidak mudah untuk remaja 16 tahun ke bawah memberikan maklumat palsu menggunakan media sosial.

Biarpun begitu, saya ingin sarankan kerajaan persekutuan memperkasakan sistem ini dengan ciri keselamatan lebih ketat, seperti penggunaaan pas kod sekali guna (OPT) dan sebagainya.

Larangan penggunaan media sosial terhadap remaja berumur 16 tahun ke bawah amat mustahak kerana kini kita berdepan pelbagai jenayah akibat kandungan tidak sesuai di media sosial. Dan kandungan ini kerap menggalakkan kes buli, keganasan dan kadangkala mengakibatkan kematian.

Pada masa sama, dalam pelbagai perbincangan atau mesyuarat yang pernah saya hadiri, penggunaan media sosial tidak lari daripada tanggungjawab mengakibatkan isu kesihatan mental dengan pelbagai konten berunsur negatif.

Negara lain seperti Australia misalnya, sedar lebih awal bahaya penyalahgunaan media sosial apabila meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Had Umur Minimum Media Sosial) 2024 yang mengehadkan akses media sosial kepada individu berusia 16 tahun ke bawah.

Malah, negara jiran kita, Singapura juga telah mengemukakan cadangan menetapkan had umur untuk akses media sosial bagi melindungi pengguna muda, dan sedang berhubung rapat dengan Australia bagi mengikuti langkah negara tersebut.

Oleh itu, ini merupakan cadangan yang saya gesa untuk dilaksanakan segera supaya kita dapat membendung isu sosial lain yang mungkin timbul seawal mungkin.

Ketika ini juga, kerajaan negeri giat merangka modul Selangor Mental Sihat (Sehat) yang diperkukuh dengan merangkumi elemen pencegahan buli, pendidikan emosi serta intervensi awal kesihatan mental khusus untuk murid. Saya menaruh harapan tinggi memperkukuhkan lagi langkah intervensi pencegahan dengan kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan.

Semestinya, saya juga amat menyokong usaha lain yang telah dicadangan. Pada saya, apa yang penting ketika ini adalah memastikan fokus semua pihak tertumpu kepada bagaimana kita mahu memastikan cadangan ini berjaya dilaksanakan dan sekiranya terdapat komen dan maklum balas, ianya perlulah konstruktif dan membina. Jika tidak, kita hanya akan terperangkap dalam kitaran mengata dan mengutuk serta mencari kambing hitam untuk dipersalahkan.

Namun, adakah ianya benar-benar bermakna dan membantu dalam menyelesaikan isu kritikal yang kita hadapi kini? Jadi, kita harus bersetuju ini merupakan tanggungjawab kita untuk bersama membina dan memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan murid di sekolah.

Akhirnya, apa yang paling mustahak adalah kita harus bersama memastikan cadangan atau pelan tindakan ini dilaksanakan serta-merta tanpa sebarang kelewatan kerana ini satu-satunya penghormatan terbaik yang dapat kita berikan kepada mangsa supaya tragedi tidak akan berulang lagi.

Setiap murid berhak berada dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, sejahtera dan menyokong perkembangan mental serta emosi mereka.

 

Jamaliah Jamaluddin adalah exco kesihatan awam dan alam sekitar Selangor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.