Jemaah Menteri bincang naikkan had umur minimum pengguna media sosial ke 16 tahun

Jemaah Menteri bincang naikkan had umur minimum pengguna media sosial ke 16 tahun

Sebelum ini dilaporkan platform media sosial bakal wajib laksana eKYC bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak miliki akaun media sosial.

teen social media
Had umur minimum pengguna media sosial ditetapkan pada 16 tahun dibincangkan Jemaah Menteri, kata Menteri Fahmi Fadzil. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Jemaah Menteri bincang menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun, daripada 13 tahun yang dicadang sebelum ini.

Mengumumkan perkembangan tersebut, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan berkata ia akan dikuatkuasakan melalui pendaftaran berdasarkan dokumen pengenalan diri rasmi seperti MyKad, Pasport serta MyDigital ID.

Menurutnya, tiada keperluan untuk melakukan pindaan pada undang-undang yang terpakai ke atas platform media sosial iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Keselamatan Dalam Talian.

“Ia akan dilaksana selaras dengan undang-undang sedia ada termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi yang terpakai untuk mengawal selia transaksi komersial,” katanya pada sidang media mingguan.

Pada 15 Okt lalu, media melaporkan semua platform media sosial bakal diwajibkan melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna (‘electronic Know Your Customer’ atau eKYC), bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Hari ini, Fahmi memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan lebih mendalam bersama Bank Negara serta beberapa pihak lain mengenai pelaksanaan eKYC.

Beliau menambah beberapa aplikasi popular seperti Touch’n Go eWallet dan Grab menggunakan dokumen pengenalan diri rasmi.

“Kita akan teliti dan umumkan garis masa pelaksanaan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan tindakan boleh diambil terhadap pengendali media sosial dan platform e-dagang yang membenarkan penjualan bahan berbahaya seperti senjata.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil tindakan terhadap iklan membabitkan barangan terlarang dalam media sosial dan platform e-dagang, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Namun, Fahmi menambah Jemaah Menteri melihat ada kewajaran untuk menjalin kerjasama lebih erat antara agensi untuk mengenalpasti sejumlah produk ataupun perkara yang perlu diambil tindakan.

“Saya juga mengarahkan SKMM meneliti keperluan untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya pihak syarikat e-dagang, platform e-dagang tidak memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Perkembangan ini menyusuli kejadian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki, 14, baru-baru ini.

Polis merampas pisau dan kerambit daripada suspek, dipercayai dibeli dalam talian, menurut siasatan awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.