
Beliau berkata setiap kenyataan sama ada daripada rakyat, pemimpin kerajaan atau pembangkang perlu dianggap serius kerana ada yang berpotensi menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
“Naratif kebencian tidak semestinya daripada pihak kerajaan sahaja, ia juga berbangkit daripada pihak pembangkang.
“Kita harus menganggap sebarang kenyataan sama ada daripada rakyat atau pihak politik, kerajaan atau pembangkang harus dianggap serius,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada Kementerian Perpaduan Negara sedar peningkatan naratif kebencian di media sosial bukan semata-mata berpunca daripada rakyat, tetapi turut daripada pengaruh luar termasuk kenyataan pemimpin kerajaan sendiri.
Halimah turut bertanya adakah kementerian berani untuk menegur pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan naratif kebencian.
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata antara langkah utama diambil pihaknya adalah mengingatkan semua ahli politik supaya kembali kepada sumpah jawatan masing-masing di Parlimen.
Katanya, ia perlu dijadikan peringatan kepada semua wakil rakyat berhubung tanggungjawab mereka bukan hanya terhadap parti politik masing-masing, tetapi juga kepada negara dan rakyat secara keseluruhan.
“Setiap Ahli Parlimen dan Senator angkat sumpah untuk taat setia, pelihara dan pertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia harus dianggap serius oleh semua Ahli Parlimen dan ahli politik yang memainkan peranan penting dalam pelihara perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.