Aktivis sokong naik had umur media sosial, seru kecelikan digital

Aktivis sokong naik had umur media sosial, seru kecelikan digital

Aktivis hak kanak-kanak berkata had umur 16 tahun guna media sosial perlu seiring pendidikan mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis.

mobile phone
Kerajaan sedang mempertimbang menaikkan had umur media sosial kepada 16 tahun bagi mengekang bahaya dalam talian terhadap kanak-kanak, selain larangan penggunaan telefon bimbit di bawah usia 16 tahun. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Aktivis hak kanak-kanak menyambut baik cadangan menaikkan had umur media sosial kepada 16 tahun, selain menyeru kerajaan memberi pendidikan kewarganegaraan digital untuk membantu mereka melayari internet secara selamat.

Semalam, kerajaan umum sedang mempertimbangkan menaikkan had umur media sosial kepada 16 tahun bagi mengekang bahaya dalam talian terhadap kanak-kanak, selain kemungkinan larangan penggunaan telefon pintar di bawah umur 16 tahun.

Pengasas Child A.C.T. Amnani A Kadir, berkata bahawa walaupun cadangan had umur itu langkah positif dan tepat pada masa, menggabungkan kewarganegaraan digital akan mengukuhkan lagi usaha memastikan keselamatan dalam talian kanak-kanak.

Beliau berkata, kajian menunjukkan pendedahan awal kepada kandungan berbahaya, seperti pornografi, keganasan, berita palsu, dan antunan dalam talian, boleh menjejaskan perkembangan otak dan kesihatan mental mereka.

“Had umur ini memberi masa kepada kanak-kanak mengembangkan kemahiran digital dan pemikiran kritis mereka menilai sama ada kandungan itu benar atau palsu.

“Justeru, kelas kewarganegaraan digital sebelum usia 16 tahun adalah idea yang baik dan ia perlu menjadi sebahagian kurikulum sekolah. Teknologi dan internet kini adalah hak asasi di mana-mana, jadi kita perlu mendidik anak-anak kita mengenai cara menggunakan alat yang berkuasa ini, bukannya membiarkan iklan dan algoritma membentuk minda mereka,” katanya kepada FMT.

Beberapa negara memutuskan mengajar kewarganegaraan digital di sekolah. Di Australia, ia diserapkan dalam mata pelajaran seperti teknologi digital dan seni media, manakala rangka kerja Education for a Connected World United Kingdom melatih pelajar berfikir secara kritis, melindungi privasi, dan mengesan maklumat palsu.

Arab Saudi juga telah mula menjalankan projek perintis kelas kewarganegaraan digital di sekolah rendah, walaupun pelaksanaan sepenuhnya masih berjalan.

Pendekatan lebih meluas

Pengasas P.S. the Children, Madeleine Yong, berkata pendekatan lebih meluas diperlukan menangani keganasan di sekolah dan bahaya dalam talian.

“Keganasan sekolah berpunca keperluan tidak dipenuhi selama bertahun-tahun seperti kesihatan mental yang lemah dan kelesuan guru. Pasukan petugas baharu itu tepat pada masanya, namun perubahan sebenar memerlukan kita mendengar mereka yang ada di lapangan,” katanya merujuk jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat insiden tikaman maut seorang pelajar perempuan 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Pembaharuan sebenar bermaksud membuat pelaburan dalam latihan berlandaskan trauma, sokongan kesihatan mental, dan menerapkan perlindungan kanak-kanak dalam setiap dasar Sekolah Selamat.”

Naib Pengerusi Persatuan Perlindungan Kanak-kanak KL, Nawiza Ariff, berkata pemeriksaan umur boleh membantu mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada laman web dan permainan berbahaya, namun memberi amaran penguatkuasaan semata-mata tidak akan berkesan.

“Ya, pengesahan (umur) membantu mengurangkan pendedahan perkara seperti pedofilia atau kandungan ganas. Tetapi, budak-budak ini bijak. Mereka boleh memalsukan umur mereka untuk menyertai platform (media sosial) ini. Ibu bapa kena bimbing dan pantau dengan rapi,” katanya.

Libat urus bersama pemegang taruh

Nawiza berkata, sekolah dan NGO juga harus mengadakan sesi celik digital dan keibubapaan supaya golongan dewasa dapat memahami risiko dalam talian dengan lebih baik.

“Segalanya bermula dari rumah. Ibu bapa mesti duduk, dengar, dan bimbing anak-anak mereka. Mereka memerlukan masa dan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Farah Nini Dusuki, berkata kerajaan tidak seharusnya bergantung penuh kepada pengharaman atau had umur sahaja.

Beliau turut menyeru Putrajaya mendefinisikan apa yang dikira sebagai media sosial, memastikan had umur 16 tahun itu adalah berdasarkan penyelidikan, dan juga melakukan konsultasi bersama kanak-kanak sebelum memperkenalkan sebarang dasar baharu.

“Daya tahan digital lebih penting daripada sekatan digital. Intervensi lain juga penting. Kecelikan emosi dan sistem sokongan psikososial mesti diperkukuh. Had umur tidak boleh menjadi satu-satunya penyelesaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.