
Tertuduh, Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42, dan Zayme Othman, 43, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua 23 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Syed Mohd Muhaimin yang ketika kejadian bertugas sebagai ketua unit pembiayaan di sebuah bank di Metro Prima, Kepong, didakwa atas 14 pertuduhan menerima suapan RM94,440 daripada seorang individu dikenali sebagai Roshanizam Roslan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Metro Prima, Kepong, antara 4 April 2023 hingga 9 Dis 2024, melibatkan sejumlah wang antara RM4,500 hingga RM10,000 bagi setiap transaksi.
Wang berkenaan dipercayai diterima secara deposit tunai ke dalam akaun Maybank miliknya sebagai upah kerana membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat kewangan.
Sementara itu, Zayme yang bertugas di sebuah bank di Serdang Raya pula didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan RM12,600 daripada individu dikenali sebagai Mohd Farid Aswad Adzahar antara 8 Sept 2020 hingga 16 Mei 2024.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Kompleks Perbadanan Putrajaya, melibatkan bayaran antara RM500 hingga RM6,000 yang dimasukkan secara pindahan dalam talian ke dalam akaun peribadinya sebagai upah memproses pinjaman.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Arik Zakri Abd Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM25,000 dan RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu mereka mesti menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan bermula November ini serta dilarang berhubung dengan saksi pendakwaan.
Hakim menetapkan 17 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes yang akan dijalankan secara serentak.
Pada Januari lalu, media melaporkan seramai 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket rasuah dan pengubahan wang haram didalangi pegawai bank beberapa institusi kewangan negara.
SPRM sebelum itu melaksanakan operasi Op Sky dengan menyerbu 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang, dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Seramai 12 individu ditahan dan hampir RM700 juta pinjaman bank dikesan diluluskan kepada individu yang kemudian terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan sejak era pandemik Covid-19.