
Dalam kenyataan, Ramkarpal yang juga bekas timbalan menteri undang-undang berkata, langkah AGC mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA tidak menyuntik keyakinan awam selain menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan siasatan serta proses membuat keputusan.
Menurutnya, walaupun AGC menyandarkan keputusan tersebut kepada semakan komprehensif terhadap keterangan sedia ada, agensi itu gagal menjelaskan sama ada ia telah menilai semula dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada 2023.
“Dengan segala hormatnya, ini bukan suatu kes di mana tiada sebarang penemuan dibuat,” katanya sambil menekankan, sudah diketahui umum Mahkamah Tinggi mendapati wujud kes prima facie terhadap presiden Umno itu pada akhir kes pendakwaan.
Dapatan prima facie tersebut bermakna Ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara sah dikehendaki membela diri.
Pihak pendakwaan sebelum ini memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 tuduhan dihadapi Zahid pada 4 Sept 2023.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudiannya membenarkan DNAA bagi 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
Ramkarpal mengingatkan bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula pada 2019 itu telah berlarutan selama hampir empat tahun, melibatkan keterangan ramai saksi pendakwaan.
“Melihat kepada keadaan ini, AGC perlu menjelaskan mengapa mereka kini berpendapat bahawa dapatan prima facie Mahkamah Tinggi tidak lagi relevan, terutamanya apabila dapatan tersebut adalah berdasarkan keterangan mereka sendiri yang dikemukakan di mahkamah,” katanya.
Ramkarpal memberi amaran sekiranya penjelasan telus tidak diberikan, ia akan menjejaskan lagi kepercayaan rakyat kepada AGC, melabel keputusan tersebut sebagai sesuatu yang ‘tidak wajar’.
Dalam pada itu, peguam Rajesh Nagarajan turut menggesa AGC menjelaskan mengapa agensi itu menyatakan keterangan terhadap Zahid ‘tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan’ selepas menyemak hasil siasatan lanjut dan material tambahan yang diterima.
Rajesh berkata, walaupun keterangan yang ada sebelum ini cukup kukuh untuk mahkamah memutuskan wujudnya kes untuk dijawab, selain mewajarkan perbelanjaan awam selama bertahun-tahun, AGC kini mendakwa kes yang sama tidak lagi mampan untuk diteruskan.
“Percanggahan ini menjejaskan teras keyakinan awam terhadap sistem keadilan. Apa yang lebih membimbangkan, ketiadaan sebarang penjelasan bermakna mengenai apa yang sebenarnya telah berubah,” katanya.
Menurut beliau, rakyat biasa kini tertanya-tanya mengapa kes ini diteruskan sejauh ini jika sejak awal lagi tiada niat untuk diselesaikan.
“Apabila mahkamah sudah sampai ke peringkat ini, keadilan tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing tanpa sebarang tempoh pasti,” katanya.
Tambahnya, hal ini boleh mencetuskan persepsi wujudnya keberatan untuk melengkapkan proses perundangan apabila tertuduh merupakan tokoh politik yang berpengaruh.
Terdahulu hari ini, AGC mengumumkan bahawa mereka mendapati keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan terhadap Zahid susulan siasatan lanjut, sekali gus memuktamadkan kes yang telah lama berlarutan itu.
Presiden Umno itu sebelum ini dituduh menyeleweng jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi serta menerima rasuah melibatkan pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri antara 2013 hingga 2018.
AGC sebelum ini menyangkal dakwaan bahawa reputasi dan kredibilitinya terjejas akibat perintah DNAA Zahid, dengan peguam negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Salleh, menyatakan keputusan sedemikian boleh dibuat walaupun selepas kes prima facie dibuktikan.