PAS seru terap penghayatan Islam susulan kontroversi dalam ATM

PAS seru terap penghayatan Islam susulan kontroversi dalam ATM

Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata ketiadaan penghayatan agama merosakkan akhlak dan sahsiah anggota serta melemahkan disiplin.

Afnan Hamimi holds a Press Conference "Youth Reject URA"
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata dakwaan rasuah dalam tentera darat amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan kelemahan tadbir urus tetapi aspek kritikal pertahanan negara.
PETALING JAYA:
Pemuda PAS menyeru penghayatan ajaran Islam diterapkan lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota keselamatan susulan kontroversi dakwaan rasuah dan aktiviti tidak bermoral yang berlaku dalam Angkatan Tentera (ATM).

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan.

“Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej ATM, malah menunjukkan bahawa budaya warisan asing yang tidak selari dengan nilai dan jati diri tempatan masih lagi diamalkan dalam kalangan anggota tentera,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes rasuah yang membabitkan rangkaian kartel perolehan tender tentera darat amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan kelemahan tadbir urus tetapi aspek kritikal pertahanan negara.

“Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, tentera berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

“Keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang rakyat, malah turut membahayakan nyawa anggota semasa latihan mahupun operasi sebenar,” katanya.

Susulan itu, katanya, Pemuda PAS mendesak siasatan terhadap kedua-dua kes rasuah perolehan tender dan isu aktiviti tidak bermoral dijalankan secara adil, telus dan tegas tanpa sebarang kompromi bagi membersihkan semula nama baik ATM.

“Pemuda PAS turut menggesa kerajaan supaya memastikan penyiasatan kes yang didedahkan dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan.

“Kita tidak seharusnya berkompromi dengan salah laku yang berlaku dan tindakan tegas wajar diambil sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bekas panglima tentera darat direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes rasuah berkait projek perolehan tender pasukan keselamatan itu.

Seorang daripada isterinya pula direman enam hari manakala seorang lagi direman tiga hari selepas kedua-duanya turut ditahan SPRM,

Pada Isnin lalu, Kementerian Pertahanan mengarahkan ATM menyiasat segara dakwaan berlakunya kegiatan tidak bermoral di dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial.

Ia susulan tular dakwaan di media sosial anggota tentera membawa masuk individu luar untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral di dalam kem, termasuk acara-acara hiburan dalam suasana seolah-olah kelab malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.