
Dalam satu kenyataan, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata undang-undang itu, yang disifatkannya sebagai diluluskan secara ‘tergesa-gesa’, tidak mengandungi peruntukan yang mengawal perolehan pertahanan.
“Akta itu dalam bentuk sekarang sebahagian besarnya tidak efektif untuk mencegah skandal yang sedang disiasat dan berkemungkinan tidak dapat menghalang kejadian serupa pada masa hadapan,” kata C4.
Menurutnya, peruntukan undang-undang yang menjenayahkan perbuatan rasuah sahaja tidak mencukupi kerana langkah pencegahan bukan pengganti kepada tadbir urus yang baik dalam perolehan pertahanan.
“Ketelusan, tadbir urus yang baik dan peraturan sepatutnya berada dalam lingkungan akta itu – tetapi malangnya ia gagal memenuhi jangkaan tersebut.”
C4 turut menggesa kerajaan menangani kritikan terhadap akta tersebut.
Kata C4, kerajaan juga perlu meminda atau menambah undang-undang berkenaan dengan peraturan perolehan yang lebih kukuh.
Bekas panglima tentera Darat, Hafizuddeain Jantan, dan dua isterinya kini disiasat berhubung dakwaan kartel tender perolehan tentera.
Ini bukan kali pertama C4 mengkritik akta itu.
Pada Ogos lalu, kumpulan itu berkata undang-undang yang dicadangkan ketika itu memberi menteri ‘budi bicara berlebihan’ dan ‘menanam konflik kepentingan’.