Siasatan MEX II: SPRM kesan aset luar negara pengerusi Maju Holdings

Siasatan MEX II: SPRM kesan aset luar negara pengerusi Maju Holdings

Ketua SPRM Azam Baki berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi luar negara, terutamanya di UK, bagi dapatkan semula aset itu.

Tan Sri Abu Sahid Mohamed
Abu Sahid Mohamed dibicarakan lima tuduhan lima pertuduhan pecah amanah dan 13 tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek lebuhraya MEX II.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan aset di luar negara yang dikaitkan dengan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd, Abu Sahid Mohamed, sebagai sebahagian daripada siasatan kes projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu bekerjasama dengan agensi luar negara, terutamanya di United Kingdom, bagi mendapatkan semula aset tersebut yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

“Banyak proses yang perlu kita patuhi di bawah bantuan perundangan bersama antara negara, yang mana ini membabitkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Pihak kami sudah menyediakan draf kepada AGC bagi memohon maklumat daripada pihak luar negara, terutama sekali daripada The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari UK,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Abu Sahid, 74, sedang dibicarakan atas lima pertuduhan pecah amanah dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek MEX II.

Pertuduhan pecah amanah melibatkan RM458 juta, manakala kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM139 juta.

Pada 19 Dis, sebuah Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Abu Sahid untuk pelepasan sementara pasportnya bagi tujuan perjalanan ke United Kingdom.

Pada 10 Dis, Azam dilaporkan berkata Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, akan memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek MEX II.

Sambungan MEX II sepanjang 18km, yang bertujuan menghubungkan Putrajaya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula pada 2016 dan pada asalnya dijadualkan siap pada Disember 2019. Namun, projek itu tertangguh, dipercayai akibat masalah kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.